Thursday 1 September 2011

Malu Sebagai Perisai Diri

Malu adalah sifat indah yang dianugerahkan Allah kepada hamba-Nya. Lahirnya sifat malu adalah seiring dengan iman setiap mukmin. Ia tidak dapat dipisahkan. Hingga ada tokoh ilmuwan Islam menggariskan, apabila malu sudah tiada, ia menandakan iman seseorang semakin berkurang.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Iman itu ada lebih 60 cabang, dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman." Sifat malu itu turut digambarkan sebagai pokok kepada akhlak seseorang. Malu mampu menghalang seseorang daripada berbuat sesuka hati. Kadang kala malu juga menjadi benteng agar setiap mukmin
berhati-hati dalam setiap tindakannya. Namun perkembangan dan suasana masyarakat ketika ini menyaksikan manusia telah hilang perasaan malu. Ramai yang tidak malu terhadap orang lain, apatah lagi kepada Allah Yang Maha Melihat. Anak sudah tidak malu menderhaka ibu bapa. Pelajar juga kurang malu bersikap biadap dengan gurunya. Situasi dalam masyarakat sekarang agak merimaskan. maksiat dilakukan terang-terangan. Di manakah nilai malu dalam kehidupan ketika ini? Islam menggariskan malu sebagai sifat yang perlu ada dalam diri setiap Muslim. Ia turut menggambarkan nilai keimanan seseorang kepada Allah, rasul dan hari Kiamat.

p/s : semoga malu menjadi benteng dan perisai bagi menghadapi dugaan di dunia.
Sumber : iluvislam.com




No comments:

Post a Comment